Monday, November 12, 2012

Izz dan 13 Lembaran aktiviti


Lembaran aktiviti Mendorong Pelajar Corot dengan Teknik Nabi Muhammad masih berselerakan di atas katil. Malam ini , ibu membuat kerja di atas katil.

Izz : Ibu, boleh abang tolong ibu susun kertas ini?


Ibu : Ya. Boleh.

Izz : Semua ada 13,ya ibu?

Ibu : Em!


Izz : Ok,ibu. Sudah siap. Abang sudah susun semuanya.

Ibu : Ya. Terima kasih, abang. Abang telaha bantu ibu susun kertas-kertas itu. Senang kerja ibu. Ibu suka. Allah berikan pahala buat abang. Sayang abang.

Izz: (Senyum) Sayang ibu juga. Gembira dapat tolong ibu. (sambil berlalu keluar dari bilik.)

Izz dan penduduk syurga




Izz masih bersama ibu di bilik sedang ibu membaca lembaran aktiviti Mendorong Pelajar Corot dengan teknik Nabi Muhammad.


Izz : Ibu, tolong bacakan kertas ini pula. (Izz tertarik dengan gambar aktiviti Menaikkan Semangat Juang.) Kenapa cikgu itu marah-marah?

Ibu : Cikgu itu kata macam mana mahu masuk universiti, buat kerja rumahpun malas. Sebenarnya, cikgu tidak boleh kata begitu.

Izz : Habis itu, cikgu mahu cakap macamana?

Ibu : Begini. Ibu tanya abang soalan berdasarkan panduan kata-kata nabi ucapkan. Ok. Sukakah abang menjadi seperempat daripada penduduk syurga?

Izz : Tak suka. Abang mahu menjadi 100% penduduk syurga.


Ibu : (Ketawa kecil). Abang ¼ itu seperti ini (sambil menunjukkan bahagian ¼). Seperti kek yang dipotong kepada 4 bahagian.

Izz : Oh. Begitu.

Ibu : Ibu tanya lagi, ya. Sukakah abang menjadi ⅓ daripada penduduk syurga?


Izz : Ibu, abang mahu 1/1 lah ibu. Kalau kek, abang mahu kesemua kek itu.

Ibu menggeleng-gelengkan kepala. Izz ketawa.

Izz dan hadis nabi



Ibu sedang meneliti lembaran aktiviti Mendorong Pelajar Corot dengan Teknik Nabi Muhammad di dalam bilik. Izz datang dan duduk sekali di atas katil. Lembaran-lembaran aktiviti berselerakan di atas katil.

Izz tertarik dengan satu lembaran aktiviti.

Izz bertanya, “ Ibu,kenapa muka cikgu itu? Cikgu itu marah,ya?”

Jawab ibu,“Ya. Cikgu itu marah sebab anak muridnya lambat masuk kelas.”

Kata Izz lagi, “Oh! Sebab itu cikgu marah?”

Balas ibu pula, “Ya! Tapi cikgu tidak boleh marah murid. nabi Muhammad tidak pernah marah kepada orang yang datang lambat ke masjid seperti dalam hadis ini (menunjukkan hadis di bahagian atas kertas lembaran itu)”

Kata Izz, “ Bacakan untuk abang hadis ini, boleh?”

Ibu pun membacakan hadis itu,

Anas melaporkan, pada  suatu hari ada  seorang lelaki datang dan   dia   terus masuk barisan  orang-orang yang  sedang sembahyang, dengan    nafasnya  termengah-mengah  kerana  terkocoh-kocoh mengejar waktu    sembahyang,  sambil membaca   'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban    mubarakan fih.' Selepas   selesai sembahyang, Nabi Muhammad  bertanya,   “Siapakah  tadi yang   mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang  yang ada   diam sahaja,  tidak   seorang pun menjawab. Nabi Muhammad  bertanya   lagi, “Siapakah  tadi yang   mengucapkan kata-kata itu?  Sebenarnya dia   tidak mengucapkan  sesuatu  yang  berdosa.” Lalu seorang  lelaki   berkata, “Tadi saya datang  dengan   termengah-mengah, lalu saya    ucapkan kata-kata itu.” Kemudian,  Nabi   Muhammad berkata, “Sungguh,    saya nampak 12 orang malaikat  berebut-rebut   mengangkat kata-kata    itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan  Sahih  Muslim
Nota: 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' bermakna  'Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh kebaikan.'”

Ibu berkata, “Lelaki itu datang lambat. Orang lain sudah mula bersembahyang dia baru sampai dan dia bercakap kuat di dalam masjid sampai Nabi Muhammad yang khusyuk itu pun dapat mendengar suaranya.Tetapi Nabi tidak marah sebaliknya nabi memuji kebaikannya iaitu dia berzikir.”

Kata Izz, “ Ibu , abang tahu apa perasaan orang yang kena marah itu?”

Balas ibu, “Ya?”

Kata Izz, “Ya. Abang tahu. Pasti orang itu rasa sedih!”