Tuesday, February 12, 2013

Masuk syurga sama-sama

Saban hari, pelbagai kata-kata yang dicipta untuk mendorong anak. Salah satunya, mendorong anak-anak bersolat.

Perkongsian pagi ini:

Ibu : Wahai pahlawan hati ibu, tiba masa untuk bangun. 
Wahai pejuang Islam, tiba masa untuk bangun dan bersolat.
(Beri gelaran baik-baik kepada anak)
Izz masih tidak bangun. Hanya mengeliat.
Ibu peluk Izz. Ibu cium dahi Izz.
Ibu : Sayang anak ibu ini.
Izz mengeliat lagi.
Ibu: (Sambil peluk Izz dan berbisik di telinganya) Anak ibu, mari sama-sama kita bersolat. Sama-sama kita masuk syurga. Abang boleh pimpin ibu masuk syurga.

Subhanallah! kata-kata itu seperti magnet yang menarik Izz. Izz terus bangun dan keluar dari bilik. Hati ibu memang terasa senang.

Ketika Izz masuk ke bilik untuk bersolat jemaah bersama ayah dan ibu, Izz memandang ibu.

Izz: Ibu, tadi ibu cakap sama-sama kita masuk syurga.
Ibu : Ya?
Izz: Abang terfikir. Abang tidak mahu lepaskan peluang ini. Masuk syurga adalah hasrat abang.
Ibu : (Tersenyum dan peluk Izz) Ibu doakan agar kita sama-sama dapat masuk syurga. Amin!

Monday, February 11, 2013

Sakit dan rahmat Allah

Dialog Ibu dan Muhammad.
Muhammad: Ibu, ada dua perkara yang abang sakit hati.
Ibu : Ha? Apa dia?
Muhammad: Satu, pasal mainan abang. Dua, ini (sambil menunjukkan calar-calar di tangan)
Ibu : Abang dicakar kucing?
Muhammad: Ya, ibu. Abang nak usap Deebak, tiba-tiba dia cakar.
Ibu : (Tidak tahu mahu kata apa.- Diam sebentar. ) tentu abang sakit.
Muhammad: Sakit sikit, ibu. Ibu, inilah rahmat Allah.
Ibu : Rahmat Allah?(Tercengang).
Muhammad: Ya. Allah mahu uji abang, kesabaran abang. Cuma abang kurang sabar sikit. (Tersengih). Kata ustaz, bila sakit, Allah ampunkan dosa. Ya, ibu?
Ibu: Ya. Apabila sakit, ada dosa kita yang Allah ampunkan.
Muhammad: Emmm... Betullah apa yang abang cakap. Allah bagi rahmat kepada abang.
Ibu : Alhamdulilah. Abang terima sesuatu itu secara positif.

Friday, February 8, 2013

Alhamdulillah...

Sewaktu bangun pagi:
Muhammad : Alhamdulillah. Abang gembira bangun pagi ini.
Ibu : Alhamdulillah. Ibu pun gembira abang bangun dengan gembira.
Muhammad: Abang gembira melihat ibu sudah tidak sakit.
Ibu : Oh! Ya. Ibu pun gembira. 
Muhammad: Abang pun gembira hari ini abang pergi sekolah.
Ibu : Ibu lagi gembira anak ibu mahu menuntut ilmu. Allah berikan pahala buat anak ibu, Didoakan Allah mempermudahkan anak ibu dalam menuntut ilmu.
Muhammad: Tapi ibu, abang tidak suka sangat kerja sekolah.
Ibu : Tapi kerja sekolah itu memahirkan diri kita. Cikgu berikan kerja sekolah untuk kebaikan abang juga.
Muhammad: Ya, ibu.
Ibu : sayang anak ibu.
Muhammad : Sayang ibu juga.

Untuk makluman Izz mahu dipanggil Muhammad. 

Thursday, February 7, 2013

Alhamdulillah ada satu kerja sekolah

Muhammad: Ibu.
Ibu : Ya.
Muhammad : Ibu, Alhamdulillah. Abang ada satu kerja sekolah sahaja. tapi banyak.
Ibu : Satu tapi banyak?
Muhammad: Ya. Satu sahaja. Sains. Tapi banyak latihan Sains yang perlu buat. Abang suka Sains. Banyak latihan tentu abang jadi mahir,kan ibu? 
Ibu : Ya.
Muhammad: Ibu. Nanti tolong ajar abang,ya.
Ibu (dalam hati...lega .Muhammad memandang positif latihan diberi. Ini hasil memuji menggunakan teknik Nabi Muhammad. Muhammad ingat pernyataan impak dalam pujian sebelum ini. -Abang banyak buat latihan . Abang mahir)

Monday, November 12, 2012

Izz dan 13 Lembaran aktiviti


Lembaran aktiviti Mendorong Pelajar Corot dengan Teknik Nabi Muhammad masih berselerakan di atas katil. Malam ini , ibu membuat kerja di atas katil.

Izz : Ibu, boleh abang tolong ibu susun kertas ini?


Ibu : Ya. Boleh.

Izz : Semua ada 13,ya ibu?

Ibu : Em!


Izz : Ok,ibu. Sudah siap. Abang sudah susun semuanya.

Ibu : Ya. Terima kasih, abang. Abang telaha bantu ibu susun kertas-kertas itu. Senang kerja ibu. Ibu suka. Allah berikan pahala buat abang. Sayang abang.

Izz: (Senyum) Sayang ibu juga. Gembira dapat tolong ibu. (sambil berlalu keluar dari bilik.)

Izz dan penduduk syurga




Izz masih bersama ibu di bilik sedang ibu membaca lembaran aktiviti Mendorong Pelajar Corot dengan teknik Nabi Muhammad.


Izz : Ibu, tolong bacakan kertas ini pula. (Izz tertarik dengan gambar aktiviti Menaikkan Semangat Juang.) Kenapa cikgu itu marah-marah?

Ibu : Cikgu itu kata macam mana mahu masuk universiti, buat kerja rumahpun malas. Sebenarnya, cikgu tidak boleh kata begitu.

Izz : Habis itu, cikgu mahu cakap macamana?

Ibu : Begini. Ibu tanya abang soalan berdasarkan panduan kata-kata nabi ucapkan. Ok. Sukakah abang menjadi seperempat daripada penduduk syurga?

Izz : Tak suka. Abang mahu menjadi 100% penduduk syurga.


Ibu : (Ketawa kecil). Abang ¼ itu seperti ini (sambil menunjukkan bahagian ¼). Seperti kek yang dipotong kepada 4 bahagian.

Izz : Oh. Begitu.

Ibu : Ibu tanya lagi, ya. Sukakah abang menjadi ⅓ daripada penduduk syurga?


Izz : Ibu, abang mahu 1/1 lah ibu. Kalau kek, abang mahu kesemua kek itu.

Ibu menggeleng-gelengkan kepala. Izz ketawa.

Izz dan hadis nabi



Ibu sedang meneliti lembaran aktiviti Mendorong Pelajar Corot dengan Teknik Nabi Muhammad di dalam bilik. Izz datang dan duduk sekali di atas katil. Lembaran-lembaran aktiviti berselerakan di atas katil.

Izz tertarik dengan satu lembaran aktiviti.

Izz bertanya, “ Ibu,kenapa muka cikgu itu? Cikgu itu marah,ya?”

Jawab ibu,“Ya. Cikgu itu marah sebab anak muridnya lambat masuk kelas.”

Kata Izz lagi, “Oh! Sebab itu cikgu marah?”

Balas ibu pula, “Ya! Tapi cikgu tidak boleh marah murid. nabi Muhammad tidak pernah marah kepada orang yang datang lambat ke masjid seperti dalam hadis ini (menunjukkan hadis di bahagian atas kertas lembaran itu)”

Kata Izz, “ Bacakan untuk abang hadis ini, boleh?”

Ibu pun membacakan hadis itu,

Anas melaporkan, pada  suatu hari ada  seorang lelaki datang dan   dia   terus masuk barisan  orang-orang yang  sedang sembahyang, dengan    nafasnya  termengah-mengah  kerana  terkocoh-kocoh mengejar waktu    sembahyang,  sambil membaca   'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban    mubarakan fih.' Selepas   selesai sembahyang, Nabi Muhammad  bertanya,   “Siapakah  tadi yang   mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang  yang ada   diam sahaja,  tidak   seorang pun menjawab. Nabi Muhammad  bertanya   lagi, “Siapakah  tadi yang   mengucapkan kata-kata itu?  Sebenarnya dia   tidak mengucapkan  sesuatu  yang  berdosa.” Lalu seorang  lelaki   berkata, “Tadi saya datang  dengan   termengah-mengah, lalu saya    ucapkan kata-kata itu.” Kemudian,  Nabi   Muhammad berkata, “Sungguh,    saya nampak 12 orang malaikat  berebut-rebut   mengangkat kata-kata    itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan  Sahih  Muslim
Nota: 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' bermakna  'Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh kebaikan.'”

Ibu berkata, “Lelaki itu datang lambat. Orang lain sudah mula bersembahyang dia baru sampai dan dia bercakap kuat di dalam masjid sampai Nabi Muhammad yang khusyuk itu pun dapat mendengar suaranya.Tetapi Nabi tidak marah sebaliknya nabi memuji kebaikannya iaitu dia berzikir.”

Kata Izz, “ Ibu , abang tahu apa perasaan orang yang kena marah itu?”

Balas ibu, “Ya?”

Kata Izz, “Ya. Abang tahu. Pasti orang itu rasa sedih!”