Friday, June 29, 2012

Ayah dan chicken chop

Kata Izz, "Tidak sangka ayah mahu masak 'chicken chop!"
Ibu jawab, "Ayah mahu penuhi permintaan abang."
Tanya ibu pula, "Jadi, apa yang perlu abang katakan kepada ayah?"
Balas Izz, "Abang akan ucapkan terima kasih."
Kata ibu, "Ibu pun begitu. Eloknya kita puji ayah."
Tapi Izz balas, "Kena tengok dulu sama ada sedap atau tidak."
Balas ibu, "Mana boleh begitu."
Izz bertanya, "Kenapa?"
Kata ibu, "Ayah sudah berusaha. Sedap atau tidak perkara kedua"
Izz menjawab, "Ya, ibu. Ayah sudah berusaha.Perlu ucap terima kasih."
Tanya ibu, "Mahukah abang ibu ajarkan teknik memuji ayah cara Nabi Muhammad?"
Izz jawab, "Mahu!"
Balas ibu,"Izz katakan begini- Ayah sudah masakkan chicken chop. Abang suka. Ibu pun suka. Allah beri pahala buat ayah kerana menggembirakan hati isteri dan anak."
Namun,Izz berkata pula, "Ibu, abang hanya mahu berkata begini:- Ayah telah masakkan chicken chop untuk abang. Ayah telah penuhi permintaan abang. Abang sayang ayah. "
Wah! Anak ibu lagi pandai memuji daripada ibu.

Iklan

Kata Izz, "Ibu, iklan ini suka menipu budak-budaklah!"
Tanya ibu, "Kenapa pula?"
Jawab Izz, " Iklan suka menunjukkan perkara yang tidak betul."
Tanya ibu, "Tipu bagaimana?"
Cerita Izz, "Tadi, iklan itu tunjuk seorang budak yang letak empat buah kerusi dan tutup. Kemudian, keluar pula kuda palsu.  Menipulah tu!"
Ibu bertanya lagi, " Bagaimana pula dengan cerita kartun?"
Izz ketawa apabila diaju soalan begitu. Katanya, "Kartun lagilah menipu. Misalnya, cerita Dora. Ada unicorn. Mana ada unicorn dalam dunia ini."
Ibu balas, "Tetapi Izz suka tengok kartun,bukan?
Izz ketawa dan tersengih lagi.
Sambungnya lagi, "Tapi ada kartun yang tidak menipu!"
Tanya ibu, "Cerita apa yang tidak menipu?"
jawab Izz, "Cerita Tarnado tentang dua orang budak nakal yang selalu mahu dipenuhi kehendaknya. Mereka pentingkan diri sendiri dan tidak mahu mendengar kata ibu bapanya. Kreatif tetapi tidak menipu."
Sambung Izz lagi, "Satu lagi cerita tidak menipu ialah cerita Sains Comot."

Izz sudah ada pendapatnya sendiri dan sudah pandai menilai.
 

Tuesday, June 19, 2012

Izz Ingin Jaga Ibu

Kata Izz ketika menonton drama tv, " Ibu, orang itu tidak boleh buat emaknya macam itu,kan?"
Jawab saya, "Ya."
Tanya Izz, "Kenapa dia marah dan halau emak dia sendiri?"
Balas saya, " Kadang kala orang lebih sayang akan isteri melebihi ibunya."
Jawab Izz, " Izz tidak akan buat macam itu pada ibu. Bila Izz kahwin juga Izz akan tinggal dengan ibu."
Balas saya, "Isteri kamu belum tentu mahu tinggal dengan ibu."
Kata Izz dengan yakin, "Isteri kena dengar cakap suami."
Tanya saya lagi (sekadar ingin menduga), "Kalau dia tidak mahu juga?"
Balas Izz, " Kalau macam itu, Izz tidak akan kahwin dengan dia."
Tanya saya lagi, "Kalau kamu sudah berkahwin dan isteri kamu tidak mahu tinggal dengan ibu?
Balas Izz, "Abang akan cerai dia. Mana boleh begitu. Isteri kena ikut cakap suami."
Kata saya sambil tersenyum sinis, " Tidak tinggal dengan ibu, tidak mengapa. Tidak menjadi kesalahan pun. Kamu cari rumah sendiri. Ibu tinggal dengan ayah."
Jawab Izz sambil memeluk ibunya ini, "Tapi abang sayang ibu. Abang hendak tinggal dengan ibu. Abang tidak mahu tinggalkan ibu. Abang hendak jaga ibu."
Nada suaranya sedih.
Saya menjawab, "Kamu belum 9 tahun pun lagilah. Kamu perlu belajar bukannya fikir tentang kahwin!"
Izz melepaskan pelukan. Dia tersengih. Kemudian, dia cium pipi ibu. Katanya lagi, " Abang tetap mahu tinggal dengan ibu. Tidak kira."

Pandainya dia mengambil hati ibu.

Sedang menaip di komputer, Izz datang. Dipicitnya belakang ibunya ini. Kemudian, diambilnya sikat dan disisirnya rambut ibunya. Setelah itu, dipicit-picit bahu dan tengkuk ibu. Kata Izz, "Ibu mesti penat. Ibu rasa lega tak bila abang buat begini?"
Saya hanya jawab, "Ya!" dan terus membuat kerja saya.
Untuk beberapa lama, saya hanya membiarkan Izz berbuat demikian sehinggalah dia berkata, "Ibu, abang berhenti,ya. Abang sudah penat."
Saya balas, "Ok. abang sudah sikat rambut ibu. Abang picit badan ibu.Ibu rasa lega. Abang telah menggembirakan dan menyenangkan hati ibu. Allah memberikan pahala buat anak ibu yang bersusah payah menyenangkan hati ibu."
Bukan sekadar pujian mengikut Teknik Nabi Muhammad tetapi saya juga memberi ganjaran sosial iaitu pelukan buat Izz. Izz memang suka dipeluk.
Semasa dipeluk , Izz berkata, "Sayang ibu."
Ibu tersenyum lalu membalas, "Sayang abang juga."

Monday, June 18, 2012

Hadiah untuk kawan

Semalam Izz memberikan hadiah kepada guru-gurunya. Apabila balik dari sekolah, saya bertanya nama-nama guru yang diberikan hadiah. Namun bilangan guru dengan bilangan hadiah tidak sama. Ada satu lagi hadiah yang tidak diberikan. Ada seorang guru lelaki yang tidak diberikan hadiah.
Saya tanya, " Kenapa tidak cukup hadiah untuk cikgu. Sepatutnya cukup,bukan?"
Izz jawab, "Satu hadiah lagi itu abang berikan kepada kawan baik abang. Dia tidak bawa hadiah untuk cikgu. Dia tengok orang lain seronok bagi hadiah kepada cikgu. Jadi, abang bagilah hadiah itu kepada dia. Jadi, dia boleh bagi kepada cikgu yang dia suka."
Saya tanya, "Dia bagi hadiah itu kepada siapa?"
Izz jawab, "Dia bagi guru kelas dia."
Saya terdiam. Kemudian, bagi merasionalkan tindakannya memberikan hadiah kepada rakan karibnya itu, Izz berkata, " Hadiah itu tidak sesuai untuk bagi cikgu abang. Cikgu abang itu lelaki. Cikgu kelas kawan abang itu perempuan. Elok bagi cikgu itu."
Oh begitu rupanya. Anak siapa ni?

Pahala buat ibu

Semalam,Izz bercerita,
Kata Izz, "Ibu, semalam ada orang Cina tua datang. Dia kata dia tak ada duit nak beli ubat. Dia susah."
Saya jawab," Lepas itu, apa jadi?"
Izz berkata, " Dia minta RM 2. Tapi ayah tak ada duit RM2. Abang ambik duit tabung abang dan abang bagi pada ayah suruh bagi pada orang Cina tu."
Saya balas, "Ayah tak ada duit kecil dan kamu bagi duit tabung kamu. Kenapa tidak berikan sendiri dan beritahu orang itu, duit itu dari tabung abang."
Izz berkata, " Tidak mengapa,ibu. Allah tahu."
Saya bertanya lagi (lebih kepada diri sendiri). Kata saya, " Betulkah orang itu susah? Bagaimana kalau dia tipu sahaja."
Izz jawab. " Ibu, kalau orang itu tipu, dia yang berdosa. Allah tetap berikan abang pahala sebab tolong orang susah, bukan?"
Akhirnya saya berkata, " Ya! abang tolong orang susah. Allah berikan pahala buat anak ibu."
Izz membalas, "Ibu pun dapat pahala juga,kan. Sebab ibu ada anak yang buat baik pada orang lain."
Lalu Izz cium pipi ibunya. Katanya, "Sayang ibu!" ibunya pula yang rasa terharu.

Ibu mahu sambung belajar

Tanya ibu, " Abang, bolehkah ibu sambung belajar lagi?"
Jawab Izz, "Ibu mahu sambung belajar di mana?"
Balas ibu, "Ibu mahu sambung belajar di universiti."
Kata Izz, "Abang rasa tidak boleh. "
Tanya ibu, "Kenapa pula?"
Kata Izz, "Abang mahu ibu sentiasa berada di sisi abang. "
Hehehe! Anak terunaku ini..

Ibu pun dapat pahala

Izz: Ibu, abang sudah selerakkan ruang tamu.
Ibu : Tidak mengapa. Abang boleh kemaskan kembali.
Izz : Ibu, tolonglah abang. Sama-sama kita kemaskan barang-barang. Ibu akan dapat pahala.
Wah! Pandai anak ibu guna teknik memuji.

Sayang Ibu

Izz berkata, " Ibu, ibu cuba tanya abang. Tanya, abang sayang ibu tak.?
Ibu menjawab, "Ok. Abang sayang ibu tak?"
Dalam hati, ibu yakin Izz akan jawab Izz sayang akan ibu.
Namun, tanpa diduga balas Izz, "Abang sayang ibu lebih daripada yang ibu fikirkan."
Izz ketawa terbahak-bahak. Seronok benar dia apabila dilihat ibu terkejut. Katanya lagi, "Ibu mesti tidak sangka abang jawab begitu, bukan?"
Anakku ini sering sahaja membuatkan ibu kehilangan kata-kata.